Setiap kita perlu menguruskan kewangan diri agar tidak mengalami masalah kewangan yang serius. Terdapat beberapa fasa pengurusan kewangan dalam kehidupan kita yang perlu kita ketahui. (Rujuk gambar di atas)
1. Fasa penciptaan harta (mula bekerja).
Setelah tamat alam persekolahan, kita akan memasuki alam pekerjaan dan mula mempunyai pendapatan sendiri. Ini adalah fasa bermulanya istilah “penciptaan” harta. Gaji yang diterima sebahagiannya dibelanjakan dan disimpan. Di sinilah bermula ujian bila mula terasa untuk membeli kereta atau hartanah. Ramai pakar kewangan menasihati untuk membeli hartanah berbanding kereta (yang mahal).
2. Fasa penambahan harta
Fasa “penambahan” bermaksud pengembangan nilai harta seperti membuat pelaburan dalam instrumen pelaburan samada saham, hartanah mahupun perniagaan. Ramai yang tidak mempunyai ilmu terperangkap dengan pelaburan tidak sah dan akhirnya terjerumus ke malapetaka kewangan.
3. Fasa perlindungan harta
Fasa penting yang sering diabaikan. Perlu diingat terdapat risiko-risiko dalam kehidupan dan risiko-risiko ini berpotensi memerlukan belanja yang besar seperti kemalangan dan sakit. Wang simpanan habis digunakan untuk belanja perubatan. Apatah lagi bila diberhentikan oleh majikan kerana sebab tersebut. Gaji akan hilang dan keluarga terjerumus ke dalam implikasi kewangan yang serius. Fasa perlindungan sepatutnya bermula seiring dengan fasa penciptaan yang dinyatakan di atas.
4. Fasa penggunaan & pengagihan
Seseorang akan melalui fasa ini bila telah tamat alam pekerjaan ataupun bersara. Ketika inilah waktu untuk menikmati atau menggunakan hasil pelaburan selama waktu bekerja sebelum ini. Persaraan yang selesa boleh menjadi sengsara bila berlaku ketidakcukupan dana ataupun wang dibelanjakan untuk menampung kos rawatan.
Ini adalah 4 fasa kewangan dalam kehidupan kita dan anda boleh merancang bagaimana anda boleh menguruskan kewangan anda. Jika artikel ini bermanfaat, kongsikan dengan rakan-rakan anda yang lain.
Leave a Reply