Kanser merupakan penyakit yang sangat ditakuti dan sangat sukar untuk disembuhkan. Pengesanan awal sangat penting dan memudahkan proses penyembuhan berbanding peringkat kritikal. Seorang doktor telah berkongsi terminologi berkenaan kanser di laman sosial untuk dikongsikan. Berikut adalah terminologi kanser yang beliau kongsikan.
.
TUMOUR:
Ketumbuhan yang abnormal pada tubuh. Boleh jadi ‘benign’ atau ‘malignant’. Bukan semua tumour adalah kanser.
.
BENIGN:
Ketumbuhan yang tidak berbahaya dan tidak merebak. Benign tumour BUKAN kanser, tetapi sesetengahnya boleh menimbulkan komplikasi bahkan kematian kerana lokasinya. Contohnya dalam meningioma (ketumbuhan selaput otak), tumour akan membesar dan menekan tisu mengakibatkan gangguan pada saraf (sawan, lemah separuh badan, dan sebagainya).
Tahi lalat, dan ketuat merupakan contoh benign tumour yang biasa dilihat. Contoh lain termasuklah adenoma dan fibroma. Sesetengah ‘benign tumour’ boleh berubah menjadi ‘malignant’.
.
MALIGNANT:
Ketumbuhan yang lebih agresif dan boleh merebak (kanser).
.
PRE-CANCEROUS/PRE-MALIGNANT:
Tisu yang bukan tipikal dan berpotensi menjadi malignant (kanser). Ia bukan kanser, tetapi berpotensi menjadi kanser mungkin 10-15 tahun berikutnya.
Ujian Pap-smear antaranya berfungsi mengesan tisu ‘pre-cancerous’ ini pada permukaan serviks dan rawatan diperlukan jika berada pada tahap tertentu dan tidak pulih. Tidak semua tisu ‘pre-cancerous’ bertukar menjadi kanser.
.
METASTASIS:
Kanser yang telah merebak dari lokasi asal (primary). Metastasis adalah petanda yang kurang baik untuk kanser, kerana ia telah merebak ke lokasi lain dan sukar dikawal.
.
STAGING:
Proses penentuan tahap kanser. Ia dipengaruhi oleh sejauh mana kanser itu telah merebak sekaligus menentukan kadar risiko dan peluang untuk dirawat.
Setiap jenis kanser berbeza kaedah ‘staging’. Umumnya, Stage 1 kanser masih berada pada tisu asal. Stage 2 kanser merebak ke tisu berhampiran. Stage 3 kanser merebak ke organ berhampiran (bermula metastasis). Stage 4 kanser telah metastasis ke organ-organ lain.
.
PROGNOSIS:
Jangkaan perkembangan/hasil akhir kanser. Kanser yang dijangka mempunyai kadar kesembuhan tinggi dipanggil ‘good prognosis’, atau sebaliknya mempunyai ‘poor prognosis’.
Prognosis setiap kanser berbeza-beza antara pesakit. Ia dipengaruhi oleh jenis kanser, lokasi kanser (contoh: kanser otak yang berada di hujung/periphery lebih mudah dicapai dan dibuang berbanding yang berada jauh ke dalam atau berhampiran tisu penting), staging, survival rate, akses kepada rawatan yang sesuai (sesetengah kanser mempunyai respons terhadap rawatan yang tinggi, sesetengahnya pula mempunyai respons yang kurang terhadap rawatan), faktor fizikal pesakit (usia dan penyakit sedia ada seperti diabetes atau auto-immune), faktor emosi-sosial pesakit, dan sebagainya.
.
5-YEAR SURVIVAL RATE:
Satu penentuan secara retrospektif (jangkaan yang dibuat berdasarkan data dan kes sebelumnya) terhadap kadar berjaya sembuh sesebuah kanser. Bermaksud, berapa peratus pesakit kanser tersebut yang berjaya hidup selepas lima tahun.
Contohnya: 5 year survival rate untuk kanser payudara pada tahap I dan II (stage I and II) ialah melebihi 90%. Ia menurun kepada 72% untuk stage III dan untuk stage IV hanya 22%.
5 tahun diambil kerana risiko kanser berulang menjadi sangat rendah selepas lima tahun (dan boleh dikira selamat atau bebas kanser).
.
CATATAN:
Tidak ada satu kes kanser yang sama. Seorang pesakit yang gagal dalam rawatan tak bermakna pesakit lain juga akan gagal. (Rujuk faktor yang mempengaruhi prognosis di atas).
Semua pesakit kanser perlu mengadakan perbincangan dengan pakar yang merawatnya bagi merangka pelan rawatan yang terbaik untuk penyakit. Rawatan kanser telah dikaji dengan meluas dan berterusan. Teknologi rawatan kanser berkembang dengan pesat dan semakin baik. Antaranya termasuklah ‘hormone therapy’ dan ‘immunotherapy’.
Pemasaan (timing) rawatan juga penting. Sangat menyedihkan apabila ramai pesakit yang memilih untuk mencari rawatan alternatif terlebih dahulu berbanding meneruskan rawatan di hospital. Ini menyebabkan rawatannya tertangguh atau dilewatkan. Natijahnya, penyakit kansernya telah merebak dan meningkat daripada Stage I atau II kepada Stage III dan IV. Seperti yang dinyatakan di atas, prognosis pesakit kanser menurun mendadak dengan perubahan ‘tahap’ kanser ini.
Kanser bukanlah perkara mudah, dari segi rawatan mahupun kesannya terhadap pesakit dan keluarga. Jangan perjudikan nasib anda mengikuti nasihat mereka yang bukan ahli dalam penyakit kanser. Ramai bekas pesakit kanser atau ahli keluarga pesakit kanser yang cenderung memberi nasihat untuk ‘TIDAK MENDAPATKAN RAWATAN’ di hospital tanpa mereka mempunyai pengetahuan atau kefahaman mengenainya. Jauhi lah mereka.
Dan jika anda salah seorang daripada mereka (bekas pesakit / ahli keluarga pesakit), elakkan daripada memberi saranan yang menyalahi ini. Pengalaman anda belum tentu menjadikan anda arif atau faham tentang kanser.
Sentiasa dapatkan nasihat yang daripada yang pakar.
****(Banyak sangat orang yang keliru, dan kadangkala penulis cerpen dan novel pun keliru apabila bercakap tentang kanser. Kebetulan tengah siapkan buku tentangnya, saya kongsikan sedikit)
#fahdrazy
#doktortanpakotputih
Sumber: FB
Leave a Reply