Bandar Saujana Putra, yang menjanjikan rumah impian kepada ramai pembeli kini menjadi mimpi ngeri kepada mereka kerana kesesakan jalan yang amat teruk di waktu puncak. Dengan ketiadaan sekolah rendah dan menengah, waktu puncak bertambah sesak dengan ibu bapa dan bas-bas sekolah yang menghantar pelajar ke sekolah sekitar amnya di Seksyen 27 dan Subang. Puncanya adalah jalan keluar dari kawasan Perumahan cuma satu iaitu roundabout yang berkongsi dengan laluan keluar masuk lebuhraya Elite dan SKVE. Gambar dari [The Star]
Gambar di atas lebih mudah untuk menggambarkan keadaan tenat di BSP ketika ini. Banyak taman perumahan dengan penduduk melebihi 30 ribu orang terpaksa beratur panjang untuk keluar ke tempat kerja, sekolah di waktu puncak. Itu belum lagi ditambah dengan projek yang rancak berjalan seperti BSP 21. Apabila siap nanti projek apartment tersebut, kesesakan akan bertambah parah jika sesuatu tidak dilakukan.
BSP 21 merupakan projek apartment lebih 400 unit lengkap dengan pusat perniagaan. Jika semua sudah berpindah masuk ke BSP 21, kesesakan bakal bertambah dengan peningkatan penduduk dan jalan keluar tetap tiada perubahan.
Ramai yang marah dan merungut dengan keadaan trafik sesak yang tiada kesudahan menyebabkan mereka lewat sampai ke tempat kerja. Ada yang terpaksa cuti kecemasan apabila trafik langsung tidak bergerak. Tidak kurang juga yang membuat ramalan bila BSP 21 siap nanti, trafik jam pasti berlaku sejurus selepas keluar dari pagar rumah. Masalahnya, siapa perlu dipertanggungjawabkan atas masalah ini dan siapa yang patut selesaikan? Kerajaan Negeri? PKNS? LBS (pemaju), PLUS? SKVE? MDKL? Menteri Besar?
Gambar di atas yang tidak tahu dari mana asal usulnya menunjukkan model Bandar Saujana Putra dari pandangan atas dan cuba anda lihat apa yang ada antara plaza tol Elite dan SKVE? Ianya mempunyai fly over untuk mereka ingin terus ke SKVE, begitu juga dari SKVE ke Elite. Tapi di manakah fly over itu sekarang? Siapakah yang tahu bila ianya akan dibina?
Kami bukan keyboard warrior tetapi kami cukup runsing melalui masalah ini setiap hari yang menyebabkan kami terkejar-kejar untuk membuat persiapan ke tempat kerja. Banyak juga liputan telah dibuat berkenaan masalah ini [the star] dan [televisyen TV1] namun belum ada tindakan dari mana-mana pihak.
Kami menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab untuk atasi masalah ini terutamanya pihak kerajaan negeri selaku penyedia tanah kepada pemaju LBS, pihak konsesi. LBS sepatutnya tidak hanya mengaut untung tanpa memikirkan kesusahan penduduk. Pemaju-pemaju harus dikenakan tindakan jika tidak mengikut perancangan dan piawai kerja standard dan MDKL perlu lebih giat membuat pemantauan
Leave a Reply